PERUTUSAN PENGARAH
Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani, Salam Sarawak Maju Makmur dan Salam JTM DI Hatiku.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, laman web rasmi Kolej Teknologi Termaju Kampus Serian (ADTEC JTM Kampus Serian) ini dapat diwujudkan sebagai medium penyampaian maklumat yang lebih efisien, telus dan mesra pengguna kepada masyarakat umum, khususnya kepada bakal pelajar, ibu bapa, industri serta agensi berkepentingan.
Sebagai salah satu institusi di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia, kolej ini komited dalam menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional bertaraf tinggi yang sejajar dengan keperluan industri masa kini. Selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, ADTEC JTM Kampus Serian sentiasa berusaha memperkukuh kualiti latihan, memantapkan kecekapan tenaga pengajar, dan menyediakan kemudahan latihan yang selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Laman web ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber maklumat berkenaan kursus yang ditawarkan, kemasukan pelajar, serta aktiviti semasa institut, malah ia juga menjadi cerminan kepada iltizam kami dalam menerapkan prinsip keterbukaan dan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan.
Saya menyeru semua pihak untuk terus menyokong usaha kolej ini dalam memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal (TVET). Semoga laman web ini menjadi wadah komunikasi yang bermanfaat, berkesan dan memudahkan semua pihak dalam mendapatkan maklumat yang diperlukan.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjadikan ADTEC JTM Kampus Serian sebagai institusi latihan unggul yang menyumbang kepada pembangunan modal insan khususnya di Serian, Sarawak dan negara Malaysia amnya.
Sekian, terima kasih.
Ts. Donny Sadin Kachon
Pengarah
Kolej Teknologi Termaju JTM Kampus Serian (ADTEC JTM Kampus Serian)